(MALAM JUMAAT) Mayat Diseksa Untuk Dapatkan Minyak Dagu!!

Filem Minyak Dagu dahpun seminggu berada di pawagam. So korang-korang yang dah tengok tu camne? Mesti rasa nak lagi perasaan seram tu, kan? So MiG Online hari nie nak berkongsi dengan korang sikit lagi kisah mengenai Minyak Dagu nie. Mungkin ada antara korang yang tak pasti mana datangnya minyak yang mampu bawak binasa nie. So jom kita baca….!! ;)

Pada zaman dahulu, orang yang bersifat kepahlawanan sememangnya akan disegani oleh masyarakat kerana ia dikatakan dapat memberi jaminan keselamatan pada seluruh penduduk. Disepanjang kegemilangannya, beliau telah banyak menghapuskan pencuri-pencuri yang masuk ke kampung itu, maka ramailah pencuri dan perompak takut untuk masuk ke kampung tersebut kerana Tok Jenal pernah menetak 9 orang perompak yang membuat kacau di kampung itu.

Menurut Saad bin Jenal, 46, anak kepada Tok Jenal, beliau masih ingat lagi iras wajah ayahnya dahulu. Perwatakannya lain dari yang lain atau mengikut kepercayaan orang zaman dahulu mempunyai ‘Tuah’. Keningnya halus meruncing, bulu matanya lentik dan bulu romanya songsang berwarna keemasan.

Tok Jenal juga merupakan anak sulung dari tujuh keturunan iaitu anak sulung yang dilahirkan pada hari Selasa oleh ibunya yang juga merupakan anak sulung. Kesemua ciri-ciri itu dianggap sebagai ‘Tuah” atau satu perkara luar biasa. Disebalik ‘Tuah’ itu, ciri-ciri beginilah yang paling digemari oleh para pengamal ilmu-ilmu hitam untuk mendapatkan minyak dagu jika beliau mati dibunuh.

“Ayah saya sebenarnya seorang yang sangat suka membuka tanah di hutan. Pada masa itu dia sedang membuka tanah di Kuala Krai, jadi selalulah dia berulang alik dari rumah ke hutan. Hari itu ayah saya dapat merasakan bahawa beliau seolah-olah diekori oleh musuh jadi setiap aturan langkahnya dibuat penuh berhati-hati. Memang kalau bukan kerana tipu muslihat musuh-musuh ayah itu, tentu mereka semua sudah habis dibunuh dengan mudah. Mengikut cerita ornag-orang tua, mereka akui bahawa jika berlaku persengketaan ayah tidak pernah kalah”, jelas Saad.

“Saya masih ingat ketika ayah hendak pergi ke hutan pada hari itu, ayah berkali-kali berpesan pada arwah nenek supaya menjaga saya dengan baik. Katanya mungkin beliau akan pergi lama atau mungkin tidak pulang langsung. Mungkin beliau dapat menghidu malapetaka yang akan menimpa dirinya”, cerita Saad sayu.

Namun hakikat kehidupan perlu di terima, kehandalan dan kepahlawanan Tok Jenal menemui jalan penghujungnya. Ketika dia pergi membuka tanah hutan di Kuala Krai itulah, satu peristiwa yang cukup menyayat hati telah berlaku. Sebelum itu menurut cerita arwah bapa saudara Saad, sememangnya terlalu banyak cubaan untuk membunuh Tok Jenal namun tidak berjaya. Pernah suatu ketika ada orang cuba membunuhnya dengan menikam lembing dari celah dinding buluh ketika dia sedang bersandar memakan sirih tetapi dengan cepat dia berpaling dan menahan mata lembing itu dengan tapak tangan kemudian lembing itu menjadi bengkok. Ada sesetengah pihak mengatakan bahawa beliau mempunyai ilmu kebal.

“Disebabkan itulah sekarang, ramai yang telah datang bertemu saya untuk belajar ilmu yang ayah saya ada dahulu. Mungkin mereka tahu daripada cerita orang-orang yang dahulu tetapi terus terang saya katakan bahawa saya tidak mempunyai sedikit pun ilmu itu semua. Ini kerana pada masa dahulu, saya tidak begitu rapat dengannya. Malahan saya cukup takut dengan ayah kerana pada beliau terlalu garang”, jelas Saad sambil tersenyum.

Namun sifat kepahlawanan itu akhirnya ditewaskan dengan muslihat musuh. Di sinilah terbuktinya bahawa akal akan dapat mengatasi segalanya. Kekuatan Tok Jenal tidak akan kekal lama, pihak musuh telah mengadakan tipu muslihat dengan menyuruh seorang budak pergi untuk meminjam kelewang (sejenis sabit)nya dengan alasan untuk mencantas dahan untuk dijadikan lastik. Pada mulanya, Tok Jenal agak keberatan untuk memberi tetapi memang sifatnya yang penyayang pada budak, akhirnya diberikan juga.

Tok Jenal memang tidak pernah lekang dengan senjata walau ke mana saja beliau pergi. Mungkin hari itu adalah ajalnya jadi lekang juga senjata itu dari tubuhnya buat kali pertama. Malangnya kelewang itu dapat diambil oleh pihak musuh. Apabila mereka mendapati Tok Jenal tidak lagi bersenjata maka semakin berani mereka mengatur langkah menyerang. Terus mereka keluar dari tempat persembunyian dan menyerang Tok Jenal. Pertempuran satu lawan sebelas orang itu dibuat secara serang hendap.

Tok Jenal betul-betul terkejut namun kehandalan Tok Jenal tetap terserlah walaupun tanpa kelewang di tangan. Beliau berlawan bersenjatakan pagar tiang nibung. Tok Jenal masih mampu mempertahankan dirinya walaupun seluruh musuhnya bersenjatakan keris, pedang, tombak dan pedang panjang. Bukannya mudah untuk mengalahkan Tok Jenal walaupun dia hanya bersenjatakan tiang nibung, dia dapat mempertahankan dirinya sehingga ke senja, itupun kerana tiang nibung itu telah hancur ditetak senjata tajam musuh.

Dalam pada itu Tok Jenal berjaya juga membunuh 3 orang musuh walaupun tangan kanannya hampir putus akibat ditetak dengan pedang panjang. Akibat tiada bersenjata, akhirnya Tok Jenal mati kerana kecederaan yang teruk di bahagian dada akibat ditikam berkali-kali dengan lembing dan pedang di bahagian perut. Keluarga Tok Jenal bersedih di atas permergian Tok Jenal dengan cara begitu tapi apakan daya, sudah kehendak Allah. Mayat Tok Jenal di bawa pulang ke kampung untuk di kapan dan dikebumikan.

Seperti yang telah dijankakan, pada malam itu muncullah satu lembaga manusia di tapak perkuburan Tok Jenal dengan hajat yang besar. Tanpa teragak-agak, dia menggali kubur Tok Jenal yang masih baru itu. Setelah bertungkus lumus dengan tanah merah, akhirnya hajat yang selama ini disimpan sejak sekian lama tertunai sudah. Sememangnya jasad manusia seistimewa Tok Jenal itu amat dinanti-nantikan oleh pengamal ilmu hitam.

Jasad Tok Jenal yang masih berbungkus rapi dengan kain kapan itu ditatang untuk di bawa ke satu tempat yang jauh di tengah hutan supaya upacara pemujaan dapat dijalankan tanpa gangguan. Sememangnya malam itu juga segala-galanya harus dilakukan. Nun jauh di tengah hutan, sudah tersedia segala peralatan pemujaan. Dibuka kain kapan yang melilit di tubuh arwah sambil mulut terkumat-kumit membaca jampi serapah maka terserlahlah sekujur tubuh yang sedia untuk dilapah. Di ambil sebuah bekas yang diperbuat dari tanah liat yang selalu digunakan untuk membakar kemenyan.

Setelah diletak alat membakar, maka menyalalah api yang sederhana besar. Sambil duduk bersila dihadapan kepulan asap yang semakin menebal, beliau membaca mentera yang entah apa maksudnya itu berulang-ulang sambil terhenjut-henjut berkali-kali. Setelah hampir lenjun dengan peluh di seluruh tubuh, dihulurkan pula bekas berisi api itu betul-betul di bawah dagu mayat. Tanpa belas dibakar dagu mayat sehingga lerai sedikit demi sedikit daging yang membalut tengkorak. Kelihatan juga beberapa buah botol kecil di atur rapi di sisi mayat. Setelah lama membakar maka timbullah minyak berwarna kekuningan dari bawah dagu mayat. Di tadahnya minyak berbau hamis itu sedikit demi sedikit hingga berjaya dikumpulkan berbotol-botol.

Bertapa gembiranya hati bukan kepalang mendapat minyak dagu yang begitu mujarab untuk pengamalan sesuatu ilmu yang tinggi. Penantian selama ini terhasil sudah. Keesokan harinya, seluruh kampung menjadi gempar apabila mendengar berita bahawa kubur Tok Jenal telah digali orang. Seluruh penduduk kampung pergi melihat kubur Tok Jenal pahlawan kebanggaan mereka. Memang benar, bukan sahaja kubur digali, mayat Tok Jenal juga tiada!

“Memang sedih kalau nak dikenangkan. Siapa tak sedih, tak cukup dengan pembunuhan yang dilakukan pada ayah, dicuri pula mayatnya. Sedih sungguh apabila mengenangkan perbuatan yang sebegitu rupa dilakukan pada mayat ayah saya”, jelas Saad sedih. Dia menganggap apa yang berlaku itu mungkin adalah takdir dari Allah dan ujian ke atasnya. Menurut arwah Pak Man seorang bomoh yang terkenal di daerah ini, mayat Tok Jenal telah dicuri oleh pengamal ilmu hitam. Mayat Tok Jenal dipercayai mempunyai sifat yang dicari-cari oleh mereka selama ini. Mayatnya digunakan untuk dibuat minyak dagu yang cukup mujarab. Kain kapannya pula digunakan untuk orang yang ingin bertapa bagi mendapat ilmu hitam. Jika mereka berjaya memperolehi kain kapan tersebut, dikatakan ia akan dapat menuntut ilmu hitam kebatinan ke peringkat yang tertinggi.

Jadi sebab itulah orang berlumba-lumba untuk membunuhnya. Menurut Saad, sepuluh tahun dahulu, ada orang datang menemuinya dan memberitahu bahawa salah seorang pembunuh ayahnya masih lagi hidup dan tinggal di Gua Musang tetapi pada Saad, dia tiada niat untuk membalas dendam pada apa yang telah berlaku. Lagipun orang itu sudah tua dan menjangkau umur 80 an. Pada Saad, biarlah Allah saja yang membalasnya. Manusia sanggup melakukan apa sahaja asalkan segala keinginan dan hajatnya tercapai. Semoga Allah mengurniakan kesabaran kepada Saad sekeluarga.

Kredit : mygml.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>